KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan akan berlaku adil dengan memberi jumlah peruntukan sama kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dua kerusi pembangkang iaitu Galas dan Kota Lama.
Menteri Besar Kelantan , Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, perkara itu penting kerana kesemua wakil rakyat sama ada kerajaan atau pembangkang telah dipilih oleh rakyat.
Menurutnya, perkara tersebut juga berasaskan dalil di dalam al-Quran yang turut menjadi dasar kepada pentadbiran kerajaan negeri.
“Ini berasaskan apa yang disebut dalam surah al-Maidah iaitu ‘Jangan kerana kebencian kamu kepada sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil, hendaklah kamu berlaku adil kerana itu yang lebih dekat kepada takwa’.
“Ayat itu turut menjadi dasar kerajaan negeri. Meskipun ada pelbagai aliran politik, tetapi pilihan raya sudah selesai. Apa yang ada ketika ini, wakil rakyat. Mereka ini wakil kepada rakyat. Jadi, kita akan beri peruntukan sama rata,” katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Nassuruddin yang merupakan ADUN Meranti memberitahu, kerajaan negeri akan merapatkan hubungan dengan kerajaan persekutuan atas prinsip federalisme dalam usaha memenuhi kebajikan dan keperluan rakyat.
Katanya, perkara itu menjadi keutamaan kerajaan negeri termasuk berusaha menyelesaikan masalah air dan peluang pekerjaan bagi rakyat di negeri ini. – KOSMO! ONLINE