KUALA LUMPUR – Kelab komedi Crackhouse tidak berhasrat meneruskan proses undang-undang untuk mencabar tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa menarik balik lesen dan melarang dua pemiliknya mendaftar sebarang perniagaan seumur hidup.
Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi di sini membatalkan permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan dua pemilik kelab itu iaitu Mohamad Rizal Johan Van Geyzel dan Shankar R. Santhiram, tanpa memutuskan perintah terhadap sebarang kos.
Hakim Amarjeet Singh memutuskan demikian selepas peguam M. Pravin memaklumkan kedua-dua anak guamnya menarik balik tindakan undang-undang tersebut.
Pravin memberitahu, afidavit jawapan yang diterima daripada pihak responden menyebut bahawa Jawatankuasa Pelesenan DBKL tidak pernah mengeluarkan perintah yang menyenarai hitam kedua-dua mereka daripada menjalankan perniagaan di Kuala Lumpur.
Menurut Pravin, DBKL hanya menarik balik lesen kelab komedi berkenaan bukan menyenarai hitam kedua-dua pemohon daripada mendaftarkan perniagaan mereka di sini.
“Sehubungan itu, kami menarik balik semakan kehakiman itu tanpa memohon perintah terhadap kos,” ujarnya.
Pada prosiding itu, peguam Khalisa Badrul Amini yang mewakili DBKL, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah selaku responden mengesahkan perkara tersebut.- KOSMO! ONLINE