fbpx

Bangga dapat bunuh komunis di Balai Polis Kambau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mansor menunjukkan sebahagian coretan sejarah Balai Polis Kambau, Kota Tinggi yang diserang komunis.

JOHOR BAHRU – Populariti Balai Polis Bukit Kepong di Muar ternyata berada dalam kelas tersendiri hingga menenggelamkan sejarah silam balai polis lain yang tidak kurang hebatnya dalam menentang komunis.

Balai Polis Kambau di Kota Tinggi dekat sini contohnya menyimpan 1,001 sejarah hitam berkaitan pengorbanan pegawai dan anggota bertahan daripada serangan komunis yang berlaku pada 28 Jun 1950 iaitu empat bulan selepas tragedi Bukit Kepong.

Walaupun tragedi itu mengorbankan dua anggota polis tetapi komunis yang mati lebih ramai iaitu 13 orang.

Ketua Bahagian Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Deputi Superintendan Mansor Omar berkata, kejadian itu membabitkan 100 komunis menyerang 25 anggota polis.

“Balai Polis Kambau merupakan antara 43 lokasi yang di­serang antara 1948 hingga 1974. Detik serangan dirakamkan pada 2012 melalui anggota yang pernah berkhidmat di situ seperti Muvathi Dasiman, 80, dari Felda Aping Barat, Kota Tinggi.

“Selain itu, Othman Bakri dari Kuala Sedeli dan Mohamad Kadir, 79, dari Kampung Telok Jeri Dalam, Tanjong Sedeli,” katanya.

Menurut Mansor, kepungan komunis bermula pada pukul 4 pagi dan kehadiran mereka dikesan selepas beberapa anggota ternampak kelibat mereka dengan bantuan cahaya bulan di celah-celah kebun getah.

Tambahnya, dua anggota dikenali sebagai Kordi dan Dollah te­rus melepaskan tembakan hingga mengenai salah seorang komunis selepas mereka gagal membalas kata laluan.

“Sebaik mereka menjerit komunis, serangan bertalu-talu menimpa anggota beserta lontaran bom dan tembakan. Insiden berbalas tembak itu berlaku hampir sejam.

“Komunis kemudian meniup trompet meminta anggota keselamatan menyerah diri jika tidak mahu mati. Melihatkan anggota enggan menyerah, komunis kembali menyerang dan menembak kabel talian komunikasi,” kata­nya.

Mansor yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Johor itu berkata, pertahanan yang kukuh di Balai Polis Kambau bukan sahaja menyebabkan komunis gagal menawannya, malah setiap mereka yang cuba masuk pasti akan mati ditembak.

“Dalam keadaan getir itu, seorang anggota, Zainuddin Kecil membuat misi mustahil dengan menyambung kabel hingga dapat meminta bantuan ibu pejabat. Zainuddin turut ce­dera terkena tembakan di paha,” katanya.

Ujar Mansor, 40 minit kemudian, kapal terbang tiba dan menyerang lokasi musuh hingga memaksa mereka berundur.

“Dua anggota kita terbunuh dalam serangan itu iaitu Konstabel Khas, Hussin Bakri dan Timbalan Ketua Balai, Koperal Soraji Mansor selain mencederakan lima yang lain termasuk ketua estet dan anak lelakinya. Komunis pula mati 13 orang,” katanya.

Tambahnya, British telah menganugerahkan Pingat Polis Colonial kepada Ketua Polis Balai Kambau, Sarjan Sa’at Abd Rahman dan Zainuddin ekoran keberanian dan kepimpinan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI