fbpx

Azlan Al-Amin Group bakal jual rumah serendah RM220,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Azlan (dua dari kanan) melihat pelan pembangunan projek perumahan pertama Azlan Al-Amin Group di Alor Lintah, Besut hari ini.

BESUT – Syarikat Azlan Al-Amin Group Holdings Sdn. Bhd. (Azlan Al-Amin Group) bakal membangunkan sebuah projek perumahan bercampur di tanah seluas kira-kira 12 hektar di Alor Lintah di sini bermula awal tahun depan.

Pengarah Urusannya, Mohamad Azlan Al-Amin berkata, nilai pembangunan kasar (GDV) bagi projek berkenaan adalah kira-kira RM60 juta.

“Projek perumahan tersebut kini dalam peringkat kelulusan agensi bertanggungjawab sebelum pembinaan dijangka bermula selewat-lewatnya pada bulan Januari tahun hadapan. 

“Penjualan lot rumah hanya akan dibuka pada tahun hadapan dengan projek pembinaannya disasar siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun,” katanya ketika ditemui di tapak projek perumahannya di Alor Lintah di sini.

Mohamad Azlan menjelaskan, ini adalah langkah awalnya dalam bidang pemaju hartanah  meskipun sebelum ini sudah berpengalaman terlibat dalam bidang transaksi jual beli tanah yang diceburinya sejak 10 tahun lalu. 

“Harga rumah yang akan ditawarkan nanti akan lebih mampu milik memandangkan kos boleh dijimatkan memandangkan tanah tapak projek tersebut milik syarikat,” jelas beliau.

Projek fasa pertama itu akan melibatkan jualan rumah teres setingkat yang dicadang berharga  RM220,000 sehingga kepada lot banglo yang dijangka dijual pada harga RM330,000. 

Tambah beliau,  Azlan Al-Amin Group seterusnya bakal membangunkan kira-kira 650 lot rumah lagi bagi fasa kedua dan ketiga di tapak projek perumahan sama dalam tempoh lapan tahun.

Jelas beliau, projek perumahan itu amat strategik kerana berdekatan dengan kemudahan asas serta berhampiran pekan Jertih dan Kota Putera yang merupakan nadi pembangunan daerah ini. 

“Saya berharap inisiatif ini akan dapat membantu rakyat terutamanya bumiputera untuk memiliki rumah sendiri kerana harga ditawarkan mampu milik dan lebih murah sedikit daripada pasaran. 

“Azlan Al-Amin Group juga tidak menolak kemungkinan membina projek perumahan di tanah dimiliki di negeri-negeri lain sekiranya projek perintis ini mendapat sambutan menggalakkan,” katanya. -KOSMO!ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI