NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 17 buruh terbunuh selepas sebuah jambatan kereta api yang sedang dibina merentasi gaung di negeri Mizoram runtuh hari ini, kata pegawai, manakala beberapa lagi dilaporkan hilang.
Rakaman video yang dimuat naik oleh Ketua Menteri Mizoram, Zoramthanga menunjukkan bingkai logam jambatan tersebut jatuh ke dalam gaung.
“Sebuah landasan kereta api yang sedang dibina di Sairang, dekat Aizawl runtuh hari ini. Sekurang-kurangnya 17 pekerja meninggal dunia.
“Orang ramai turut membantu dalam operasi menyelamat,” kata Zoramthanga menerusi platform X.
Akhbar The Indian Express memetik seorang pegawai polis sebagai berkata, 17 mayat telah ditemui manakala beberapa yang lain masih hilang.
Namun, sukar untuk mengesahkan segera beberapa laporan mengenai mangsa yang hilang.
“Operasi menyelamat sedang dijalankan, manakala segala bantuan yang boleh turut diberikan kepada mereka yang terjejas,” kata Perdana Menteri, Narendra Modi.
Menurut Modi, kerajaan India juga akan membayar pampasan sebanyak 200,000 rupee (RM11,245) kepada waris mangsa yang terbunuh. – AFP