ALOR GAJAH – Seorang operator kilang disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka hari ini selepas lebih 13 jam bertarung nyawa susulan nahas melanggar seekor haiwan di Jalan Air Paabas, Alor Gajah di sini, petang semalam.
Mangsa, Muhammad Hafizee Md. Daut, 31, yang mengalami kecederaan di bahu, kaki dan pendarahan di kepala disahkan meninggal dunia pada pukul 8.05 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa telah terlibat dalam kemalangan kira-kira pukul 6.30 petang semalam apabila motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang dia tunggang dipercayai melanggar seekor haiwan.
“Mangsa dikatakan dalam perjalanan dari tempat kerjanya di Alor Gajah untuk balik ke rumah di Masjid Tanah dan setiba di lokasi, motosikal dia tunggang telah melanggar seekor haiwan.
“Akibat kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala, kaki serta bahu dan dikejarkan ke zon merah Hospital Alor Gajah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Mengulas lanjut Arshad berkata, pihak polis bagaimanapun tidak dapat mengesahkan jenis haiwan yang terlibat di dalam nahas berkenaan.
“Hasil pemeriksaan pegawai penyiasat di lokasi hanya menjumpai kesan tanah di atas permukaan jalan dan kesan motosikal di atas rumput di sebelah kiri jalan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik untuk bedah siasat dan kes disiasat di Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE