fbpx

Tiada kes baharu batuk kokol di Rompin, hanya 3 kes setakat ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Nor Azimi.

KUANTAN – Tiada kes baharu wabak pertussis atau batuk kokol yang berlaku di daerah Rompin selepas tiga individu disahkan dijangkiti wabak berkenaan bermula 7 Ogos lalu.

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, wabak berkenaan yang dikesan di Rompin adalah terkawal dan masyarakat tidak perlu bimbang.

Katanya, selepas tiga individu disahkan dijangkiti penyakit terbabit, pihaknya telah melakukan pemeriksaan tapisan melibatkan lebih 370 individu namun tiada kes baharu dikesan.

“Kita memeriksa lebih 50 peratus penduduk di kampung berdekatan tetapi tiada kes baharu yang kita dapati.

“Sebagai langkah pencegahan, kita mengesan 37 orang kontrak rapat dan mereka telah diberikan antibiotik profilaksis,”katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Nor Azimi,  kes pertussis di Rompin berlaku kepada tiga individu melibatkan sebuah keluarga di Kampung Bahagia di Rompin.

Jelasnya, menjadi amalan jabatan kesihatan melabelkan sebagai wabak sekiranya terdapat dua atau lebih kes sama dalam satu lokaliti seperti mana amalan dalam kes denggi.

Dalam pada itu beliau berkata, kenyataan dalam media sosial yang menggambarkan wabak berkenaan tidak terkawal adalah tidak benar dan tidak bertanggungjawab.

Katanya, kenyataan orang ramai di laman sosial berhubung wabak itu disifatkan tidak memberi gambaran situasi sebenar sebaliknya cuba menakutkan masyarakat dengan maklumat tidak tepat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI