SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengeluarkan kenyataan media rasmi berkaitan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2023 yang dikatakan bermula lebih awal pada 5 Disember depan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara itu.
“Kita (kementerian) memang belum keluarkan kenyataan lagi. Tunggu sahaja laporan penuh kita itu nanti,” katanya selepas melancarkan Laporan Tahunan 2022 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di Pustaka Raja Tun Uda, Seksyen 13 di sini, hari ini.
Media sebelum ini, melaporkan peperiksaan SPM 2023 dijangka bermula pada Disember depan sejajar langkah KPM bagi mengembalikan sesi permulaan persekolahan kembali kepada asal iaitu pada Januari secara beransur-ansur.
Peperiksaan itu akan bermula dengan ujian amali sains pada 5 Disember, diikuti ujian bertutur pada 8 Januari tahun depan manakala bagi peperiksaan bertulis, dijadualkan berlangsung pada 30 Januari.
Ini berbeza dengan jadual yang dihadapi oleh pelajar SPM 2022 yang bermula pada 30 Januari sehingga 15 Mac lalu. – KOSMO!ONLINE