fbpx

Pemimpin perlu bezakan isu politik dengan semangat merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENJAWAT awam, Nur Amirah Mohd. Nazam berswafoto berlatarbelakangkan Jalur Gemilang yang dipasang sempena Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 di Putrajaya baru-baru ini.

PETALING JAYA – Penggunaan logo serta tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023 yang berbeza tidak wajar dilakukan kerana kemerdekaan negara tidak boleh disamakan dengan matlamat berpolitik.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, dalam hal ini, pemimpin perlu membezakan soal aktiviti politik dan semangat kenegaraan.

“Pada saya, kenapa nak guna (logo dan tema) yang berbeza, ini mengenai kemerdekaan negara, bukan kemerdekaan parti.

“Kita cakap mengenai negara, kena tahu perbezaan. Tak suka Kerajaan Persekutuan tidak me­ngapa, tak suka negara tak boleh kerana ia bersifat menyeluruh.

“Mereka perlu bezakan (kebencian politik) dengan sema­ngat kenegaraan. Itu sangat pen­ting,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Dr. Salawati berkata, jika penggunaan logo itu diteruskan, tindakan tersebut sebenarnya hanya menunjukkan keangkuhan kerajaan negeri.

“Janganlah ingat bila menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, akan menang selama-lamanya. Apa Malaysia ini dah terbelah kepada empat bahagian ke?

“Janganlah bangkitkan perkara yang remeh-temeh. Kita sepatutnya bekerjasama dan ikut apa yang ditetapkan kerajaan Persekutuan untuk raikan HKHM 2023,” ujarnya.

Selain itu, kata Dr. Salawati, kerajaan negeri yang tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan tidak perlu memikirkan soal politik ketika ini.

“Mereka sepatutnya setuju dengan menggunakan logo yang sama dan raikan bersama rakyat di negeri masing-masing.

“Dari segi penggunaan logo oleh kerajaan Persekutuan ini tiada salah. Ia hanya semata-mata untuk menyambut Hari Kebangsaan dan dengan keadaan ketika ini, kita perlu bersatu untuk negara,” jelasnya.

Terdahulu, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari memaklumkan bahawa Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang ditadbir parti itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif berbanding logo dan tema yang diumumkan di peringkat Persekutuan.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ diangkat sebagai tema HKHM2023.

Kata Fahmi, logo Malaysia Madani bagi HKHM 2023 memiliki reka bentuk logo yang unik dan simbolik dengan ‘tangan yang sedang diangkat, untuk melafazkan ikrar Rukun Negara’. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI