NEW DELHI – Seorang guru di India menemui beberapa keping wang kertas yang diselit oleh seorang pelajar semasa dia menanda kertas peperiksaan, lapor stesen penyiaran NDTV hari ini.
Gambar beberapa keping wang kertas denominasi 100 rupee (RM5.60), 200 rupee (RM11) dan 500 rupee (RM28) itu dihantar guru berkenaan kepada seorang pegawai polis India, Arun Bothra. Dia berkongsi insiden itu dalam satu hantaran di laman X.
“Gambar ini dihantar oleh seorang guru. Wang ini disimpan dalam helaian kertas jawapan peperiksaan oleh pelajar dengan permintaan untuk memberi mereka markah lulus. Ia menggambarkan tentang pelajar, guru dan keseluruhan sistem pendidikan kita,” tulisnya.
Hantaran itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna akaun X, dengan beberapa guru lain berkongsi pengalaman serupa.
“Ini berlaku kepada saya kira-kira tiga kali semasa menanda kertas jawapan. Rakan sekerja saya juga menghadapinya sejak 20 tahun lalu. Wang kertas itu biasanya disertakan dengan penceritaan kisah sedih dan bukannya jawapan kepada soalan peperiksaan.
“Pelajar sebegitu biasanya akan gagal,” kata seorang netizen.
“Perkara ini sudah berlaku selama beberapa dekad. Sesetengah pelajar memasukkan wang, dahulu ada yang pernah meninggalkan nombor telefon dan berjanji akan memberi lebih banyak wang jika mereka lulus,” komen netizen lain. – Agensi