TELUK INTAN – Seramai 38 orang warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memasuki dan berada dalam negara ini tanpa dokumen yang sah serta tinggal melebihi masa, dua minggu lalu.
Kesemua tertuduh berusia 21 hingga 47 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret T. Ashvinii.
Mengikut pertuduhan, 13 tertuduh termasuk tiga wanita didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 Pindaan 2002 kerana tinggal di negara ini tanpa mempunyai apa-apa dokumen yang sah.
Manakala 25 tertuduh termasuk enam wanita didakwa berada di negara ini lebih dari masa yang telah ditetapkan iaitu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/1963 Pindaan 2002 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta yang sama.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di Pantai Sungai Tiang pada pukul 8.30 pagi, 10 Ogos 2023.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan dan Azalea Sharmeen Zaizan manakala kesemua warga asing tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 13 tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) dijatuhi hukuman penjara empat bulan daripada tarikh tangkapan dengan tambahan 10 pesalah lelaki dikenakan satu sebatan.
Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(c) pula, mahkamah menetapkan semua 25 tertuduh dijatuhi hukuman penjara empat bulan daripada tarikh ditangkap.
Media pada 10 Ogos lalu melaporkan, cubaan 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup keluar dari negara ini dengan menaiki sebuah bot gagal, apabila ditahan pihak berkuasa kira-kira 1.0 batu nautika dari Perairan Pantai Sungai Tiang, Rungkup, Bagan Datuk. – KOSMO! ONLINE