fbpx

Lelaki maut terbabas selepas hantar isteri ke tempat kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN mangsa yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jambatan Bota, Kilometer 42, Jalan Ipoh-Lumut dekat Parit hari ini.

PARIT – Seorang lelaki maut akibat kecederaan parah di kepala selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Jambatan Bota di Kilometer 42, Jalan Ipoh-Lumut di sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar pukul 10.15 pagi itu, mangsa, Muhammad Syafiq Muhammad Nazri, 23, beralamat di Kampung Baru Layang-layang Kanan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar isterinya ke tempat kerja di Titi Gantung.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda ditunggang seorang lelaki dalam perjalanan dari arah Lumut menghala ke Ipoh.

Katanya, semasa tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa cedera parah di kepala. Mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Changkat Melintang bagi proses bedah siasat.

“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nur Muhammad Aizat Abdullah di talian 05-3712222. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI