KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan golongan M40, sekali gus menafikan andaian kononnya tumpuan lebih berfokus kepada B40.
Beliau berkata, ia berikutan beberapa pihak ada menegurnya berhubung pendekatan yang dilaksanakan kerajaan dikatakan lebih tertumpu kepada golongan B40 serta mengabaikan kumpulan pendapatan M40.
“Ada yang tegur bahawa pendekatan kita terlalu banyak untuk B40 dan telah mengabaikan M40. Tapi andaian hanya kepada B40 ini tidak betul kerana kita tengok sekolah menengah sains atau MRSM (Maktab Rendah Sains Malaysia) termasuk Kolej Melayu dan lain-lain, manfaat kepada golongan paling miskin sangat kecil.
“Tak sampai pun satu atau dua peratus. Sebab itu, saya usulkan kepada Menteri Pendidikan baru-baru ini menyatakan bahawa sama ada sekolah khas dicadangkan atau tidak pun mesti diperuntukkan satu hingga lima peratus sahaja bagi yang benar-benar miskin. Kalau tidak kesenjangan itu akan terus berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jalinan Kerjasama iTEKAD di Bank Negara (BNM) di sini, hari ini.
Mengenai meritokrasi pula, Anwar berkata, sistem tersebut hanya berkepentingan kepada golongan elit dan yang berkemampuan sahaja.
“Golongan elit dia pergi sekolah terbaik, dia anak orang kaya. Jadi meritrokasi itu relevan. Namun, jika dia datang dari Manik Urai atau Kapit di Sarawak, maknanya keadilan itu tidak secara adil.
“Meritrokasi itu penting, tapi tak boleh satu-satu kriteria. Ia penting dalam kalangan elit serta yang mampu. Kalau nak bincang meritokrasi sekolah terbaik di Kuala Lumpur dan sekolah di Kapit, itu maknanya menggagaskan satu formula yang tidak menekankan keadilan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE