BERN, Switzerland – Jumlah kekayaan peribadi di seluruh dunia menurun 2.4 peratus kepada AS$454.4 trilion (RM2.11 kuadrilion) pada akhir tahun lalu, demikian menurut laporan bersama oleh Credit Suisse dan Bank UBS seperti dinyatakan portal berita RT kelmarin.
Penurunan itu adalah yang pertama sejak krisis kewangan pada 2008.
Laporan tersebut menyatakan bahawa sebahagian besar daripada kejatuhan 2.4 peratus itu atau berjumlah AS$11.3 trilion (RM52.54 trilion) berpunca daripada peningkatan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding pelbagai mata wang lain.
Aset kewangan dilaporkan menyumbang paling banyak kepada penurunan kekayaan dalam tahun 2022, manakala aset bukan kewangan seperti hartanah kekal terus berdaya tahan di sebalik peningkatan pantas kadar faedah.
Kekayaan setiap orang dewasa pula merosot purata 3.6 peratus kepada AS$84,718 (RM393,896), kata laporan tersebut.
Kerugian yang berlaku tertumpu pada rantau kaya seperti Amerika Utara dan Eropah yang kedua-duanya mencatat penurunan kekayaan persendirian sekitar AS$10.9 trilion (RM50.58 trilion).
Asia Pasifik mencatatkan kemerosotan sebanyak AS$2.1 trilion (RM9.76 trilion). Bagaimanapun, Amerika Latin menyaksikan peningkatan kekayaan peribadi sebanyak AS$2.4 trilion (RM11.16 trilion), dibantu oleh peningkatan purata 6 peratus mata wang negara-negara rantau berkenaan berbanding dolar AS.
Menurut laporan sama, dari sudut negara, AS mengetuai senarai kerugian diikuti oleh Jepun, China, Kanada dan Australia.
Peningkatan kekayaan persendirian terbesar pula dicatatkan di Russia, Mexico, India dan Brazil.
“Evolusi kekayaan terbukti berdaya tahan semasa era Covid-19 dan berkembang pada kadar tertinggi pada 2021.
“Namun, inflasi, kenaikan kadar faedah dan susut nilai mata wang menyebabkan berlakunya ‘pembalikan’ (penurunan kekayaan) pada 2022,” kata Ketua Ekonomi dan Penyelidikan global Credit Suisse, Nannette Hechler-Fayd’herbe.
Laporan itu mengunjurkan kekayaan global akan meningkat 38 pratus dalam tempoh lima tahun akan datang, mencecah AS$629 trilion (RM2.9 kuadrilion) menjelang 2027. – AGENSI