MANJUNG – Anak-anak Allahyarham Shaharul Amir Omar, 49, mangsa pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) yang terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam minggu lalu menerima hakikat kematian ayah mereka dan menghadapinya dengan tenang.
Menurut balu Allahyarham, Suhaila Akasah, 47, emosi mereka juga stabil, dengan faktor usia turut memainkan peranan dalam hal berkenaan.
“Alhamdulillah, emosi anak-anak stabil, perlahan-lahan mereka terima hakikat kehilangan ayah mereka.
“Kesemua mereka termasuklah anak sulung yang autisme berada dalam keadaan baik dan dapat menerima pemergian Allahyarham dalam suasana tenang,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Seri Manjung, semalam.
Empat anak pasangan tersebut ialah Izzat Danish, 19, Imanina Zulaikha, 17, Ismahani Dhaniyah, 15, dan Iyliaa Najwa, 12.
Mengulas lanjut, Suhaila berkata, dia juga percaya biarpun Izzat Danish memahami apa yang berlaku dan ia dapat dilihat ketika pengebumian Allahyarham di Taman Persemadian Islam Seri Manjung, Ahad lalu.
“Anak sulung saya apabila dibawa ke liang lahad ketika pengebumian arwah, dia juga mengalirkan air mata tanda faham ayahnya sudah pergi.
“Kehilangan ini mula-mula mungkin sukar, tetapi lama-kelamaan mereka boleh kawal emosi sendiri kerana masing-masing sudah besar dan matang,” ujarnya.
Terdahulu, Suhaila menerima kunjungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perak yang diwakili oleh Timbalan Pengarahnya, Roslan Pilus dan Pengurus Perkeso Manjung, Mohd. Shaperi Md Salleh.
Suhaila bersama empat anaknya selaku waris layak menerima bantuan faedah Perkeso menerusi Skim Bencana Pekerjaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Waris menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) RM2,000 untuk sekali bayar, selain bayaran Faedah Orang Tanggungan (FOT) kepada balu untuk seumur hidup dan anak-anak sehingga usia mereka mencecah 21 tahun.
Mengulas tentang bantuan Perkeso tersebut, Suhaila berkata, ia amat membantu keluarganya apatah lagi dia merupakan seorang suri rumah sepenuh masa.
“Saya sudah lama meninggalkan alam pekerjaan, apatah lagi selepas melahirkan anak sulung yang merupakan seorang autisme. Jika mahu bekerja kembali sekali pun, sudah tentu sukar mendapat kerja ekoran usia saya ketika ini.
“Alhamdulillah, Allah hadirkan bantuan dalam waktu yang cepat dan tidak disangka-sangka. Kehadiran Perkeso ini betul-betul meringankan beban saya dalam keadaan anak-anak yang mungkin mahu sambung belajar,” katanya. – KOSMO! ONLINE