CINCINNATI, Amerika Syarikat (AS) – Jaguh tenis Serbia, Novak Djokovic berjaya membalas dendam selepas mengatasi musuh ketatnya Carlos Alcaraz pada Terbuka Cininccati awal pagi semalam.
Djokovic yang sebelum ini tumbang di tangan Alcaraz sewaktu Kejuaraan Wimbledon terpaksa menunggu selama 35 hari untuk bangkit mengatasi pemain Sepanyol itu dengan keputusan 5-7, 7-6, 7-6.
Kemenangan tersebut membolehkan Djokovic merangkul gelaran pada Terbuka Cincinnati buat kali ketiga sekali gus menjadi gelaran Masters 1000 ke-39 sepanjang kariernya.
“Bagi saya kemenangan hari ini benar-benar tidak masuk akal dan saya tidak tahu apa yang boleh saya katakan. Bagi saya perlawanan hari ini paling sukar yang pernah saya beraksi dalam hidup saya.
“Dari awal hingga ke akhir perlawanan, kami berdua melalui aksi tahap perlawanan tinggi dan pertembungan yang menakjubkan. Perlawanan seperti inilah yang membuatkan saya terus bekerja keras.
“Alacaraz adalah pemain yang luar biasa dan saya menghormatinya. Dia juga benar-benar bersedia untuk menghadapi perlawanan seperti ini meskipun masih muda,” kata Djokovic.
Pada pertembungan epik tersebut, Djokovic dilihat keletihan selepas terpaksa bermandi peluh apabila memerlukan tempoh tiga jam 49 minit untuk menewaskan Alcaraz.
Dalam pada itu, saingan Terbuka Amerika Syarikat (AS) akan bermula pada 28 Ogos ini nanti menyaksikan Alcaraz masih kekal turun dengan status pemain No. 1 dunia.
“Perlawanan kali ini agak sengit dan saya hampir untuk bangkit. Apapun, saya akan kembali selepas ini,” kata Alcaraz. – AGENSI