fbpx

Bot hanyut ke Thailand, nelayan berpaut 16 jam pada unjam buluh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bot yang dinaiki ketiga-tiga nelayan tiba di jeti LKIM Kuala Kemasin, Bachok hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZZAMAN/ KOSMO!

BACHOK – Tiga nelayan berpaut selama 16 jam pada unjam buluh selepas bot yang dinaiki mereka ketika keluar memukat ikan di perairan Pantai Kemasin di sini kehabisan minyak sebelum hanyut memasuki perairan Thailand kelmarin.

Mangsa, Rohaimi Ahmad, 47, berkata, kejadian kira-kira pukul 3 petang itu berlaku ketika dia bersama anak tiri lelakinya, Nik Mohd. Syafiq Abdul Hafiz, 21, dan rakan, Amir Zulfikar Che Will, 29, sedang memukat ikan sebelum bot mereka kehabisan bekalan diesel.

Menurutnya, cuaca yang tidak menentu diselangi angin kuat menyebabkan bot mereka hanyut meskipun sudah melemparkan sauh ke laut.

“Bot tersebut hanyut selama dua jam sebelum kami terjumpa satu unjam buluh dan mengikat bot di kawasan tersebut. Kami bergantung pada unjam itu bermula pukul 5 petang hingga 9 pagi keesokan harinya (semalam). Sepanjang berada di situ, kami tidak putus-putus berdoa dan bertawakal pada Allah SWT semoga keajaiban berlaku.

“Alhamdulillah, nasib menyebelahi kami apabila sebuah bot milik warga Thailand yang melalui kawasan itu berhenti dan memberi bekalan minyak diesel sebanyak 10 liter,” katanya ketika ditemui di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Kemasin di sini, hari ini.

Rohaimi memberitahu, selepas itu, dia terus bergerak ke arah sebuah kampung di Tak Bai, Thailand untuk mencari kawasan daratan sebelum bot tersebut kehabisan minyak buat kali kedua.

Katanya, semasa di Tak Bai, dia meminta penduduk kampung menghubungi pihak berkuasa Thailand untuk membawa mereka pulang ke Malaysia.

Rohaimi (kiri) bertemu anak dan isterinya sebaik sahaja tiba di jeti LKIM Kuala Kemasin, Bachok hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZZAMAN/ KOSMO!

“Alhamdulillah, hasil bantuan daripada pihak berkuasa Thailand, kami selamat tiba di jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, kira-kira pukul 7 petang semalam.

“Kami bertiga bermalam di sana sebelum bertolak ke Kuala Kemasin pada pukul 7.30 pagi tadi dengan diiringi bot Agensi Penguatkusaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan. Ini merupakan kejadian pertama yang berlaku kepada saya sepanjang menjadi nelayan sejak 20 tahun lalu,” katanya.

Rohaimi berkata, dia tetap akan keluar memukat ikan kerana pekerjaan itu merupakan sumber utama pendapatan keluarga dan berharap kejadian sama tidak berulang lagi.

Sementara itu, isteri Rohaimi, Nik Suliana Bikri Kamal, 41, berkata, dia bersyukur suami dan anaknya tiba dengan selamat di jeti Kuala Kemasin hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI