fbpx

Angkara tibi, lima beranak terpaksa tidur dalam kereta dua bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Faisal bersama isteri serta anaknya yang menjadikan kereta sebagai rumah selepas mereka disahkan menghidap tibi.

SEGAMAT – Lima sekeluarga terpaksa tinggal di dalam kereta selama kira-kira dua bulan berhampiran Hospital Segamat di sini selepas mereka keluar dari rumah mentua akibat penyakit Tuberculosis atau tibi yang dihidapi.

Menurut Mohd. Faisal Kamarozaman, 36, sebelum ini dia dan isteri serta tiga anaknya tinggal bersama keluarga mentua di Bukit Siput di sini, sebelum keluar dari rumah berkenaan sebaik mengetahui anak keduanya menghidap penyakit berkenaan pada Jun lalu.

“Segalanya bermula apabila anak kedua saya yang berusia enam tahun mengalami kelenjar di belakang telinga kanan. Apabila doktor melakukan rawatan, sampel tisu kelenjar itu diambil.

“Melalui sampel itu, doktor mengesahkan anak saya menghidap tibi. Selepas itu, ia berjangkit kepada anak bongsu, kemudian anak sulung dan kemudian menjangkiti saya.

“Apabila keluarga mentua mengetahui kami sekeluarga menghidap tibi, kami diminta sewa di rumah lain kerana bimbang ahli keluarga lain akan dijangkiti penyakit berkenaan,” katanya ketika ditemui di Segamat Baru kelmarin.

Bagaimanapun, Mohd. Faisal berkata, atas faktor kewangan yang terbatas, mereka sekeluarga kemudian memutuskan untuk tinggal dan bermalam di dalam kereta buat sementara.

Mohd. Faisal dan keluarganya menerima bantuan berupa penginapan sementara daripada pelbagai pihak termasuk Pemuda UMNO Sekijang.

Dalam pada itu, isteri Mohd. Faisal, Susilawati Asmarajaya, 29, berkata, dia yang bekerja sebagai tukang cuci di Hospital Segamat turut mengambil cuti tanpa gaji bagi menjaga kesemua tiga anaknya yang sakit.

“Suami saya membantu adik­nya berniaga burger di Johor Bahru, tetapi dalam keadaan suami yang masih menghidap tibi, dia tidak dapat bekerja lagi mengikut nasihat doktor,” katanya.

Mohd. Faisal serta tiga anak perempuannya yang berusia tiga hingga sembilan tahun kini masih lagi menerima rawatan dan perlu ke klinik kesihatan atau Hospital Segamat setiap hari untuk mengambil ubat.

Penyakit tibi merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh sejenis kuman Mycobacterium Tuberculosis.

Penyakit ini disebarkan melalui udara yang boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang terdedah kepada kuman itu.

Terdahulu, kisah menyayat hati dialami lima sekeluarga itu tular di media sosial apabila seorang pengguna, Nordarlina Yusof berkongsi nasib malang keluarga berkenaan yang ditemuinya di dalam sebuah kereta di salah sebuah stesen minyak berhampiran Hospital Segamat.

Ujar Mohd Faisal, selepas tular, ramai warga Segamat yang hadir di stesen minyak ber­kenaan bertanya khabar mereka sekeluarga.

Selain itu, keluarga berkenaan turut mendapat bantuan makanan selain sedikit bantuan wang saku daripada orang ramai.

“Alhamdulillah malam tadi (kelmarin) ada juga pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) datang berjumpa dan akan uruskan urusan bantuan.

“Selain itu, Pemuda UMNO Bahagian Sekijang telah menguruskan rumah untuk kami sekeluarga berteduh serta menerima kunjungan Datuk Ayub Rahmat yang hadir menghulurkan bantuan buat kami.

“Tidak lupa juga cikgu kelas anak saya di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra yang bertanya khabar dan ada juga bantu kami melalui isteri saya sejak Jun lalu.

“Minta maaf banyak, saya tidak mampu sebut satu persatu pihak yang datang membantu kerana ramai yang datang malam tadi sampai saya tidak ingat nama satu persatu.

“Terima kasih semua warga Segamat yang amat prihatin dengan nasib kami sekeluarga. ­Hanya Allah dapat balas jasa baik kalian semua,” katanya dalam nada sebak.

Bagi orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada lima sekeluarga ini boleh menghubungi Mohd. Faisal di talian 016-7286831 atau Susilawati 01173429634 atau ke akaun CIMB 7615951825 (Mohd. Faisal Kamarozaman).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI