PUTRAJAYA – Kumpulan pertama melibatkan seramai 80 anak-anak pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sebelum ini menetap di depot Imigresen akan dipindahkan ke penempatan baharu di Nilai, Negeri Sembilan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun itu akan dipindahkan dalam masa terdekat dan ia satu tindakan paling tepat dari sudut perikemanusiaan oleh Kerajaan Madani.
“Biarlah ia satu permulaan yang kecil dan kali ini usaha itu dikendalikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sendiri dan bukannya kita tidak alu-alukan agensi lain.
“Buat masa ini, 80 kanak-kanak itu diambil daripada Depot Imigresen Semenyih, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Bukit Jalil.
“Negara jiran, Thailand sejak 2019 sudah pun mengasingkan kanak-kanak di bawah 18 tahun daripada depot Imigresen mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan kementerian itu di sini, hari ini.
Katanya, beliau turut mengimbau pengalaman ketika meninjau sebuah depot Imigresen Semenyih sekitar Februari lalu dan mendapati seorang tahanan wanita dilihat bersama seorang bayi berusia 20 hari.
Saifuddin Nasution berkata, beliau mengakui keadaan depot Imigresen ketika ini tidak sesuai didiami oleh kanak-kanak apatah lagi bayi yang baru lahir. – KOSMO! ONLINE