fbpx

46 buah sekolah hantar penyertaan Tentera Masa Hadapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota tentera menunjukkan demostrasi pada Pogram Membudayakan R&D Pertahanan di Sekolah di SMK Durian Tunggal, Melaka, hari ini.

ALOR GAJAH – Pertandingan Inovasi Pertahanan bertemakan Tentera Masa Hadapan yang dilaksanakan di peringkat sekolah menerusi Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan (STRIDE) menerima penyertaan mencecah 46 buah sekolah di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, jumlah itu direkodkan sejak pertandingan tersebut dibuka pada 24 Mei lalu dan dijangka penyertaan akan terus meningkat sehingga tarikh tutup 4 September depan.

Katanya, program tersebut merupakan usaha kementerian di bawah Program Membudayakan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Pertahanan di Sekolah bagi menggalakkan penglibatan pelajar dalam penyelidikan pertahanan.

“STRIDE telah menganjurkan aktiviti Cakna Sains, Teknlogi, Inovasi (ST&I) Pertahanan dan Pertandingan Inovasi Pertahanan bertemakan Tentera Masa Hadapan bagi Program Membudayakan R&D Pertahanan di sekolah.

“Setakat ini pertandingan di peringkat kebangsaan itu telah menerima sebanyak 46 penyertaan melibatkan sekolah menengah di seluruh negara,” katanya selepas menyempurnakan Pogram Membudayakan R&D Pertahanan di Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal di sini, hari ini.

Tambahnya, menerusi program itu, STRIDE juga akan mengadakan kunjungan ke sekolah-sekolah terpilih bagi memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan aktiviti penyelidikan dan pameran kemajuan teknologi pertahanan.

Mengulas lanjut beliau berkata, penganjuran pertandingan itu adalah bagi menggalakkan kreativiti serta mencungkil bakat pelajar sekolah dalam mengaplikasikan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) untuk menghasilkan projek inovasi yang berimpak tinggi.

Adly berkata, sebagai tunjang institusi pendidikan, pihak Universiti Teknologi Mara, serta Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia turut hadir untuk berinteraksi secara langsung dengan pelajar mengenai pengajian serta peluang kerjaya yang ditawarkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI