JAKARTA – Seorang lelaki berkongsi kisah sedihnya yang kematian isteri, tiga bulan selepas anak pertama dilahirkan dan setelah 10 tahun mereka menantikan kehadiran cahaya mata, lapor portal berita Grip Pop semalam.
Berdasarkan video tular di laman TikTok, si suami berkata, selama 10 tahun dia dan arwah isterinya, Ayu Pratiwi diuji tanpa kehadiran cahaya mata.
Namun, mereka tetap hidup bahagia dan bersama-sama meniti hari.
Pasangan suami isteri itu akhirnya menerima berita gembira apabila Ayu disahkan hamil pada tahun lalu sebelum melahirkan bayi mereka yang dinamakan Arya.
Bagaimanapun, ujian baharu menimpa lelaki tersebut apabila Ayu meninggal dunia dengan sebab yang tidak dinyatakan.
“Tepat tiga bulan selepas melahirkan Arya, Allah lebih menyayangi isteri saya,” katanya menerusi hantarannya di TikTok.
Hantaran lelaki tersebut menerima pelbagai komen netizen yang turut bersedih dengan ujian yang menimpanya.
“Saya turut menangis kerana saya juga perlu menunggu 11 tahun untuk hamil. Ya Allah, lindungilah kami dan sihatkanlah serta panjangkan umur kami,” kata seorang netizen. – AGENSI