PETALING JAYA – Penyanyi senior Datuk Zainal Abidin bukanlah seorang figura yang seperti kata bidalan, lempar batu sembunyi tangan.
Selepas dikatakan menyindir Aina Abdul, pemilik nama lengkap Zainal Abidin Mohamed itu bertindak memuat naik status dalam Instagram memaparkan dirinya bergambar penyanyi tersebut.
Sebilangan netizen pantas melabel pelantun lagu Hijau itu sengaja mencari publisiti demi melariskan tiket konsertnya, Zainal Abidin Tiba Masa Live Concert 2023 yang bakal berlangsung 30 September depan.
“Saya tidak pernah berniat buruk terhadap sesiapa. Setiap orang mempunyai pendapat masing-masing dan itu tidak bermakna saya benci akan seseorang dengan melontarkan pandangan.
“Jadi, tolong jangan hakimi saya. Malaysia sebuah negara yang bebas dan setiap orang ada hak untuk bersuara,” katanya menerusi satu hantaran dalam Instagram.
Ramai netizen tidak berpuas hati dan menyifatkan Zainal, 64, sengaja mengada-adakan cerita demi menjual tiket konsert yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Nak tumpang nama sebab nak publisiti.
“Tak setuju betul dengan pandangan anda sanggup naik lori dan pakai pelik sebab nak popular (merujuk fesyen Aina Abdul),” demikian antara komen pedas netizen dalam ruangan komen hantaran terbabit.
Sebelum ini, Zainal menyindir segelintir penyanyi zaman sekarang yang suka mencari kontroversi demi menuai populariti sekelip mata.
Zainal berkata, sikap sedemikian adalah satu kesilapan besar yang kelihatan begitu terdesak hendak menjadi popular dalam industri muzik.
“Mereka ini terdesak hendak kejar likes, followers dan subscribers. Namun, apabila tak dapat semua itu mulalah rasa kecewa dan akhirnya kemurungan.
“Itu yang terpaksa naik lori dan pakai baju pelik. Ada pula yang sanggup buka baju dan bertelanjang supaya dipandang orang,” kata Zainal kepada media.
Ironi, tidak lama selepas mengeluarkan kenyataan terbabit, bekas vokalis kumpulan Headwind itu berkongsi klip pendek dirinya bersama dengan Aina Abdul menerusi Instagram. – KOSMO! ONLINE