BACHOK – Tiga nelayan termasuk dua beranak dikhuatiri hilang selepas keluar memukat ikan di sekitar perairan di Pantai Kemasin di sini semalam.
Rohaimi Ahmad, 47, bersama anak lelakinya, Nik Mohd. Syafiq Abdul Hafiz, 21, dan rakan, Amir, Zulfikar Che Will, 29, dipercayai hilang selepas tidak pulang ke rumah mereka kira-kira pukul 4 petang semalam.
Isteri Rohaimi, Nik Suliana Bikri Kamal, 41, berkata, dia rasa tidak sedap hati selepas menyedari dua ahli keluarganya tidak pulang ke rumah sebelum memaklumkan kepada menantunya, Raja Muhamad Shamsul Amir, 31, yang juga pemilik bot yang dinaiki ketiga-tiga mangsa.
Menurutnya, dia yang ditemani Raja Muhamad Shamsul turun ke laut pada pukul 9 malam tadi dengan menggunakan bot rakan-rakan menantunya untuk mencari suami dan anak, namun mereka gagal menemui bot yang dinaiki ketiga-tiga mangsa.
“Kebiasaannya, suami dan anak saya keluar memukat ikan di perairan Pantai Kemasin kira-kira pukul 3 pagi. Mereka akan pulang kira-kira 12 jam kemudian iaitu antara pukul 3 hingga 4 petang.
“Saya dan menantu ada menghubungi rakan-rakan lain untuk mengetahui keadaan mereka selepas beberapa jam hilang tanpa khabar berita,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Kemasin di sini, hari ini.
Nik Suliana memberitahu, cuaca di tengah lautan petang semalam yang berkabus berkemungkinan menyebabkan bot yang dinaiki ketiga-tiga mangsa gagal menemui jalan pulang.
Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, bertindak atas aduan, Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim (MRSC) mengaktifkan Op Carilamat mangsa kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.- KOSMO! ONLINE