KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu memutuskan untuk kekal menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang diperkenalkan Kementerian Komunikasi dan Digital bagi sambutan peringkat negeri tahun ini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua persiapan sambutan Hari Kebangsaan peringkat Terengganu yang sedang berlangsung akan diteruskan seperti biasa.
“Ya, sama (penggunaan logo dan tema Hari Kebangsaan mengikut kerajaan Persekutuan),” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Ahmad Samsuri sekaligus menolak kemungkinan dan cadangan agar empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) termasuk Terengganu menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza bagi sambutan peringkat negeri tahun ini.
Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari pada Sabtu lalu telah mencadangkan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah gabungan itu menggunakan logo dan tema alternatif dilancarkan pihaknya.
Logo diperkenalkan Pemuda PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang merupakan bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna terdapat pada Jalur Gemilang dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’. – KOSMO! ONLINE