fbpx

Kerusi DUN Pelangai kosong, SPR mesyuarat minggu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD SHARKAR (tengah) menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi DUN Pelangai kepada Zamree (dua dari kanan) di Wisma Sri Pahang di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin menyerahkan notis kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Ini susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun dalam tragedi menyayat hati Khamis lalu di Shah Alam, Selangor.

Mohd Sharkar berkata, notis pemakluman rasmi itu diserahkan kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang, Datuk Zamree Hamli supaya SPR mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Ini prosedur yang harus dilaksanakan SPR apabila terdapat kekosongan kerusi DUN disebabkan perkara tidak dapat dielakkan seperti yang berlaku ke atas Allahyarham (Johari).

“PRK terpaksa diadakan, jadi sebagai Speaker dan Timbalan (Lee Chin Chen) kita menyerahkan surat bagi memaklumkan kepada SPR tentang notis kekosongan DUN Pelangai untuk tindakan selanjutnya,”katanya pada sidang akhbar di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Sementara itu, Zamree memberitahu, satu mesyuarat akan diadakan pihak SPR bagi membincangkan mengenai kekosongan kerusi tersebut pada minggu ini.

“Kita akan mengadakan mesyuarat secepat mungkin dan ianya akan dilakukan dalam minggu ini,” ujarnya.

Pada Khamis lalu, seramai 10 mangsa termasuk Johari terkorban dalam nahas udara selepas pesawat ringan jenis Beechcraft 390 terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI