MINAT bersolek dan berdandan sejak kecil membuatkan gadis cantik ini berani melibatkan diri dalam perniagaan berasaskan kosmetik.
Meskipun masih ‘hijau’ dan mentah dalam perniagaan, namun Sara Nurshazana Shahrudin tetap tidak mengabaikan pengajian di kampus.
Berkongsi kepada iGen, gadis yang mesra disapa sebagai Sara itu tidak pernah malu mengakui mengenai tabiatnya suka bersolek sejak tadika.
Katanya, minat tersebut dipengaruhi oleh ibunya, Roziyana Ramli yang juga gemar bersolek dan menjaga penampilan serta imej diri.
“Saya suka tengok ibu dari muda sampai sekarang, dia pandai menjaga kecantikan.
“Minat untuk berhias diri ini dipengaruhi daripada ibu sendiri.
“Mula-mula tengok cara ibu solek dan dia ajar saya bersolek.
“Sekarang saya belajar sendiri teknik solekan menerusi video tutorial di YouTube,” tuturnya membuka bicara.
Baru menginjak usia 21 tahun, Sara kini merupakan pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Sungai Petani, Kedah.
Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sara mula mencari duit poket sendiri dengan melakukan pelbagai perniagaan secara kecil-kecilan bermula pada tahun 2020.
“Saya pernah menjual kopi, baju serta pelbagai produk kosmetik keluaran peniaga lain.
“Tapi kecenderungan saya lebih kepada barangan kosmetik sebab suka kepada benda yang cantik-cantik.
“Tidak dinafikan berniaga produk kosmetik ini ada cabarannya tersendiri.
“Ini kerana terdapat saingan sengit dengan produk baharu yang keluar di pasaran,” katanya.
Tambah anak sulung daripada tiga beradik itu, dia mengakui, bukan mudah untuk belajar sepenuh masa sambil menjana pendapatan sampingan.
“Bapa saya bekerja sebagai pemandu lori dan ibu pula suri rumah.
“Jadi saya tidak mahu membebankan mereka daripada segi kewangan.
“Justeru, saya ambil langkah untuk meringankan beban mereka dengan mencari duit dan berniaga.
“Alhamdulillah, berkat kesabaran beberapa tahun ini, saya ada produk kosmetik keluaran sendiri dengan jualan bulanan pernah mencecah RM30,000,” katanya.
Sering melakukan penstriman video secara langsung di TikTok dengan tutorial mekap serta penggunaan produk kosmetik, Sara bersyukur kerana dia berjaya menimba banyak ilmu mengenai perniagaan semasa belajar di UiTM.
Diaju mengenai kepentingan antara belajar dan bekerja, gadis yang gemar mengembara itu berpendapat, pelajaran dan kewangan kedua-duanya sama penting.
“Belajar dan duit sama-sama penting. Kalau hendak belajar kena beli buku dan segala perbelanjaan pengajian memerlukan duit.
“Kalau tak belajar, tak dapat pengalaman, jadi macam mana hendak menguruskan bisnes nanti.
“Sebagai pelajar, saya menggunakan ilmu yang ada untuk menguruskan kewangan dan bisnes,” katanya.
Menutup perkongsian, dia yang juga merupakan seorang model sambilan memasang impian untuk mempunyai syarikat dan empayar perniagaan sendiri kelak.
Pun begitu katanya, dia tidak akan sesekali meminggirkan pelajaran dan merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, sekali gus bergelar usahawan berpendidikan.