SEREMBAN – Dua saudara lelaki termasuk seorang remaja ditemukan lemas dalam kejadian di Sungai Simen, Jalan Rantau Ladang Kombok, Rantau di sini malam tadi.
Kedua-dua mangsa dikenali sebagai A.Vijay, 16, beralamat di Ladang Kombok, manakala bapa saudaranya, G. Chanthiran, 60, pula dari Taman Bukit Merbok Ria, Rasah di sini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rantau, Pegawai Bomba Kanan 1, Mohd. Syazwan Saidy berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.07 malam dan 10 anggota dari Balai dan Penyelamat Rantau dan 10 anggota Pasukan Penyelamat di Air dikejarkan ke lokasi.
“Mangsa pertama (remaja) ditemukan orang awam pada pukul 10.16 malam, manakala warga emas pula dijumpai di dasar sungai pada pukul 11 malam,” katanya kepada pemberita.
Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini bagi tujuan bedah siasat.
Mohd Syazwan berkata, kehilangan kedua-dua mangsa itu disedari abang remaja berkenaan selepas tidak pulang sejak petang.
“Berdasarkan maklumat awal, abangnya mencari remaja itu di sungai sebelum menjumpai barangan peribadi adiknya di lokasi. Dia cuba hubungi mangsa, namun hanya terdengar deringan telefon di tebing dan menyangka adiknya memancing di situ.
“Selepas itu, dia ternampak jala di permukaan air dan cuba menarik sebelum melihat adiknya berada di jaring dalam keadan terbelit. Dia menarik ke atas permukaan namun mendapati mangsa tidak bernyawa sebelum menghubungi talian kecemasan bagi meminta bantuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE