fbpx

Perak HIP jadi nadi ekonomi baharu negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (kiri) ketika mengadakan gimik pada Majlis Pecah Tanah Projek Perak HIP di Lekir, Sitiawan hari ini.

MANJUNG – Taman Industri Halal Perak@Lekir (Perak HIP) yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2025 bakal menjadi nadi ekonomi baru negeri ini selain berperanan sebagai platform bagi pengusaha dan pemilik perniagaan halal untuk memasarkan produk mereka ke pasaran global.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembangunan taman industri halal pertama di negeri ini itu merupakan kesinambungan daripada program lembu tempatan oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) sejak 2022 dengan matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan pengeluaran daging halal di Malaysia.

Selain itu, katanya, ia juga bermatlamat untuk memperkukuhkan rantai bekalan yang mapan dan berteraskan integriti, memberikan nilai tambah kepada pengeluaran daging serta untuk memperluaskan jangkauan produk halal Perak.

“Perak HIP akan dibangunkan dalam kawasan berkeluasan 43 hektar meliputi tiga fasa, yang mana ia dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2025.

“Perak HIP ini juga akan memberi manfaat kepada rakyat di mana lebih 300 peluang pekerjaan akan dibuka kepada penduduk setempat serta peluang kepada kontraktor-kontraktor G1 bumiputera,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek Perak HIP di Lekir di sini yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Yahanis Yahya.

Pada masa sama, Saarani berkata, pembangunan itu juga memberi peluang kepada kepada syarikat-syarikat yang sedang mencari lokasi strategik, fasiliti canggih dan ekosistem yang menyokong pertumbuhan serta inovasi untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam Perak HIP kelak.

“Nilai Pembangunan Kasar (GDV) dijangka akan mencapai RM1 billion dan bakal menawarkan harga tanah industri yang kompetitif setanding dengan lain-lain kawasan industri.

“Perak SADC juga komited untuk melabur sejumlah RM20 juta dalam tempoh dua tahun pertama yang antaranya untuk pembinaan jejambat bagi menghubungkan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) terus kepada Perak HIP bagi memastikan kelancaran logistik,” katanya.

Tambah beliau, Perak HIP adalah contoh terbaik bagaimana negeri ini berusaha untuk membangunkan industri halal yang kukuh dengan menyediakan kemudahan-kemudahan komprehensif dan infrastruktur yang menyokong pertumbuhan pesat dalam sektor berkenaan.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan acara penyerahan replika cek bernilai RM20 juta daripada Agrobank kepada Perak SADC bagi membiayai peserta-peserta yang terlibat di dalam Perak HIP.

Turut diadakan adalah penyerahan surat sokongan bagi cadangan pembangunannya antara Maybank Islamic Berhad dan Perak SADC serta pemeteraian memorandum usahasama antara Perak Agro Farm Sdn. Bhd., Ladang Lekir Sdn. Bhd. dan Eurofresh Sdn. Bhd. dalam pembangunan industri lembu tempatan.

Perak HIP bakal dilengkapi dengan pusat pemprosesan daging, kompleks penyembelihan dan pemprosesan, pusat kajian dan pembangunan daging halal, pusat pemprosesan ayam serta kilang pemprosesan makanan haiwan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI