JAKARTA – Seorang penunggang motosikal nekad melarikan diri dan meninggalkan wanita yang memboncengnya selepas kenderaan dinaiki mereka ditahan polis, lapor laman berita Detik hari ini.
Dalam sebuah rakaman video yang tular, penunggang lelaki dan pembonceng wanita itu ditahan polis trafik dalam satu sekatan jalan raya di Kelapa Gading, Jakarta Utara kerana tidak memakai topi keledar.
Selepas diarah berhenti, anggota polis mengarahkan penunggang berkenaan mengalihkan motosikalnya ke tepi jalan.
Ketika pembonceng turun daripada motosikal tersebut, polis dalam masa sama mengarahkan kenderaan lain agar turut berhenti.
Pada ketika itu, penunggang motosikal dengan pantas melarikan diri dan meninggalkan wanita yang memboncengnya.
Wanita tersebut kemudian berjalan dengan perlahan lalu mengejar si lelaki.
Tidak dinyatakan tindakan selanjutnya ke atas kedua-dua mereka, namun Ketua Polis Trafik Wilayah Jakarta Utara, Komisioner Polis Edy Purwanto berkata, pihaknya akan menyiasat kejadian tersebut. – AGENSI