GEORGE TOWN – Matlamat dan pengisian kemerdekaan bercanggah sekiranya empat negeri di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN) menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66, 31 Ogos ini.
Yang Dipertua Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang, Datuk Abdul Kader Md Ali berkata, tidak wajar bagi negeri-negeri berkenaan menggunakan logo dan tema secara berasingan memandangkan kemerdekaan dicapai atas kerjasama semua raja Melayu dan pemerintah Persekutuan serta negeri.
Menurutnya, Hari Kebangsaan adalah kedaulatan negara yang disambut seluruh rakyat berbilang kaum di negara ini.
“Pada pandangan saya, Hari Kebangsaan tidak boleh dipolitikkan. Sudah bertahun kita menyambutnya, perkara cadangan mengenai logo dan tema tidak pernah berlaku.
“Kita mempunyai tatacara prinsip kehidupan dalam negara iaitu Rukun Negara yang wajib diamalkan. Jika kita tidak menghayati prinsip Rukun Negara ini secara ilmiah, perkara ini tidak akan berlaku,” katanya kepada Kosmo! di sini.
Baru-baru ini, media melaporkan empat negeri di bawah pemerintahan PN mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza untuk sambutan peringkat negeri, berbanding menggunakan logo dan tema yang diumumkan di peringkat Persekutuan.
Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, berkata Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah parti itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN, semalam.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ diangkat sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023.
“Cuba kita lihat Jalur Gemilang, kita akan mengibarnya di seluruh Malaysia. Dengan satu bendera yang sama dan bendera itu dipersetujui oleh raja-raja Melayu.
“Kita perlu menghayati akan tujuan kemerdekaan, matlamat dan pengisian kemerdekaan. Ia bercanggah dengan matlamat asal jika tidak kesamaan berlaku terutama dengan logo dan tema Hari Kebangsaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, tegas beliau, sebagai rakyat yang taat setia kepada raja dan negara adalah wajar cadangan mengenai logo dan tema tersebut ditarik balik secara terbuka dan berilmiah.
“Kita perlu mempunyai batasan dan mengenai hak-hak kita. Sebelum kita membuat cadangan, kita perlu mengenal pasti siapa yang berhak membuat kenyataan. – KOSMO! ONLINE