PETALING JAYA – Rata-rata pengguna media sosial kagum melihat semangat ditunjukkan seorang lelaki yang juga orang kelainan upaya (OKU) fizikal bekerja di sebuah ladang sawit.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Kepala Berputar, lelaki terbabit gigih mengangkat tandan sawit walaupun tangan dan kaki kanannya mengalami kecacatan.
Berdasarkan klip video berdurasi 22 saat itu, kelihatan lelaki OKU itu mencucuk sendiri tandan sawit menggunakan sebilah besi sebelum meletakkan ke bahu.
Menariknya, aksi tersebut dibuat sendiri tanpa bantuan orang lain dan dia berjaya memikul tandan sawit tersebut seperti manusia normal.
Semangat yang ditunjukkan lelaki tersebut telah mengundang sebak dan rata-rata pengguna media sosial kagum dengan kegigihannya bekerja walaupun mengalami kecacatan fizikal.
“Aku yang normal pun tak boleh angkat, kuatnya semangat dia cari rezeki,” tulis Che Puteri.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Hazienani Amran.
“Malu la,yang cukup sifatnya tak cukup bersyukur. Semoga dipermudahkan urusan adik ,sihat selalu dalam mencari rezeki halal,” doanya. -KOSMO! ONLINE