fbpx

Kebakaran dahsyat di Kanada, puluhan ribu penduduk berpindah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBUAH helikoper cuba memadamkan kebakaran di kawasan bukit di Kelowna, British Columbia pada 17 Ogos lalu. -- AFP

OTTAWA, Kanada – Kerajaan wilayah British Columbia meminta beribu-ribu penduduk mematuhi arahan berpindah kelmarin ketika kebakaran hutan makin marak dan mengancam sebahagian besar kawasan di Lembah Okanagan termasuk bandar Kelowna.

Situasi di destinasi pendakian dan pelancongan popular itu ‘sangat dinamik’, kata Menteri Pengurusan Bencana British Columbia, Bowinn Ma.

Kira-kira 30,000 orang di rantau Kanada Barat itu berada di bawah arahan berpindah, manakala 36,000 lagi diminta bersedia untuk meninggalkan kediaman mereka.

“Kami ingin menekankan betapa pentingnya untuk penduduk mematuhi arahan berpindah apabila ia dikeluarkan,” kata Ma pada sidang akhbar tengah hari kelmarin.

Kelowna yang didiami 150,000 penduduk diselubungi asap tebal dan menjadi pusat populasi terkini diancam kebakaran hutan yang merebak di serata Kanada dan memusnahkan kawasan seluas beberapa juta hektar.

Perdana Menteri, Justin Trudeau berkata, beliau sudah bercakap dengan Ketua Menteri British Columbia, David Eby mengenai ‘situasi kebakaran hutan yang merebak pantas dan mendatangkan kemusnahan besar’ serta berjanji menyalurkan bantuan persekutuan bagi menangani bencana itu.

Sementara itu di rantau jirannya, kebakaran hutan di Wilayah Barat Laut memaksa penduduk bandar Yellowknife berpindah. Yellowknife yang merupakan ibu negeri Wilayah Barat Laut dan didiami kira-kira 20,000 penduduk kelihatan seperti ‘bandar hantu’ kelmarin.

Siri kebakaran hutan yang berlaku mengakibatkan kerugian besar, kata Trudeau kepada pemberita selepas melawat pelarian Yellowknife apabila mereka tiba di Edmonton, wilayah Alberta, Jumaat lalu.

Kira-kira 40 penerbangan membawa sekitar 3,500 penumpang dari Yellowknife juga tiba di Calgary, jata beberapa pegawai tempatan yang menyediakan hampir 500 bilik hotel.

Anggota bomba dari Australia, Mexico, Brazil dan Costa Rica di samping timur Kanada sedang membantu rakan setugas mereka di British Columbia untuk memadamkan api.

Sementara itu, di seberang sempadan di Amerika Syarikat, beberapa ribu orang terpaksa melarikan diri daripada kebakaran hutan di negeri Washington dengan sekurang-kurangnya satu kematian dilaporkan, demikian menurut media tempatan.

Kanada mengalami musim kebakaran hutan paling buruk dengan anggaran rasmi lebih 14 juta hektar kawasan musnah atau menyamai saiz negara Greece dan hampir dua kali ganda lebih besar daripada rekod kemusnahan sebelumnya iaitu 7.3 juta hektar. Empat orang terbunuh setakat ini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI