SELEBRITI terkenal Paris Hilton dan suaminya, Carter Reum menuai kritikan netizen selepas dikatakan tidak sensitif dengan situasi kebakaran buruk yang sedang melanda pulau pelancongan popular, Hawaii.
Pasangan itu dilaporkan berkongsi momen indah mereka sewaktu bercuti di wilayah Maui yang juga terletak di Hawaii.
Lokasi percutian mereka dengan kawasan kebakaran hutan hanya sejauh sekitar 48 kilometer.
Menerusi Instagramnya, pelakon juga sosialit berusia 43 tahun itu memuat naik foto sedang berciuman dengan suaminya berlatarkan pemandangan matahari terbenam sambil mendukung cahaya mata sulung mereka.
Pasangan itu menikmati percutian mewah dengan menginap di sebuah hotel terkemuka di Wailea.
Sikap tidak sensitif Hilton itu mengundang kebencian netizen. Masing-masing menyifatkan Hilton tiada simpati dengan nasib penduduk yang terkesan akibat kebakaran hutan itu.
“Hawaii sedang berduka. Tolong jaga perasaan mereka yang terkesan akibat kebakaran,” ujar seorang netizen.