fbpx

Dua premis digempur curi air RM91,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Faizal (tengah depan) melihat pemotongan sambungan haram paip di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, hari ini.-Foto ISKANDAR ISHAK/KOSMO!

KLANG – Kegiatan dua premis mencuri air bernilai RM91,000 lebih lima bulan lalu mengundang padah apabila digempur Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) di Kampung Telok Gong di sini pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata, premis itu melibatkan sebuah tapak pembinaan dan kilang barangan lusuh dengan jarak antara kedua-duanya adalah 200 meter.

Katanya, pemeriksaan lanjut di lokasi pertama iaitu tapak pembinaan kilang mengesan sambungan haram paip jenis polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) berukuran 32 milimeter (mm).

“Sambungan itu dipercayai menyalurkan bekalan air bagi kegunaan pekerja di rumah kongsi dan aktiviti pembinaan di premis itu.

“Siasatan mendapati kesalahan itu dilakukan sejak Mac lalu dengan penggunaan sebanyak 23,000 meter padu air dan kerugian RM70,000,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu, hari ini.

Jelas Ahmad Faizal, kilang barangan lusuh pula mendapati menggunakan sambungan paip mudah lentur berukuran 14mm pada tetiang meter premis itu.

“Semakan Air Selangor mendapati akaun air premis itu sudah ditutup dan sambungan haram berkenaan dilakukan sejak Februari lalu.

“Nilai kerugian dialami sepanjang tempoh itu dianggarkan RM21,000,” ujarnya.

Tambah beliau, tindakan pemotongan bekalan air dilakukan serta-merta dan semua paip itu dirampas untuk tindakan lanjut. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655). -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI