fbpx

Datang Selangor, lemparkan cacian melampaui batas – Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin

KLANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur segolongan kelompok masyarakat termasuk ahli politik yang mengheret Institusi Diraja ke dalam ceramah-ceramah mereka ketika berkempen sebelum ini.

Tegas baginda, keadaan yang berlaku ini menggambarkan terhakisnya rasa hormat segelintir ahli dan pemimpin politik terhadap Institusi Diraja dan kesultanan Melayu yang menjadi payung kepada umat Islam, orang Melayu dan lain-lain bangsa.

Titah Sultan Sharafuddin, sikap biadab mereka ini telah melangkaui batas-batas dan nilai keperibadian orang Islam dan Melayu yang sering dipelihara.

“Ingatlah, jangan kerana kita menyangka bahawa kita cukup popular di kalangan rakyat sehingga bertindak memperlekehkan sesiapa yang tidak sehaluan dengan fahaman politik masing-masing.

“Malah sanggup pula hadir ke negeri Selangor dengan melemparkan cacian melampaui batas.

“Ke mana hilangnya budi bahasa? Ini bukan budaya kita khususnya orang Melayu untuk menghina sesiapa pun khususnya di khalayak ramai.

“Peliharalah adab dan susila kita apatah lagi apabila kita bertandang ke negeri atau rumah orang,” titah baginda hari ini.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan menyempurnakan istiadat mengangkat sumpah, ikrar janji dan pengurniaan surat cara pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini.

Justeru, baginda menyeru kepada semua pihak agar menghentikan budaya caci-mencaci yang boleh menjejaskan keharmonian dalam masyarakat.

Sebaliknya, Sultan Sharafuddin menitahkan agar menumpukan perhatian ke arah memajukan kehidupan rakyat dan memakmurkan negara.

“Kini pilihan raya telah pun selesai, maka marilah kita bersama-sama mengeratkan semula hubungan tanpa mengira agama, kaum dan fahaman politik seterusnya kembali bersatu padu membangunkan semula negara dan negeri Selangor khususnya.

“Hormatilah antara satu sama lain dengan tidak membesarkan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti sesuatu agama, kaum, bangsa atau keturunan yang boleh menggugat keharmonian,” titahnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI