KLANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar kerajaan negeri yang baharu dibentuk menyelesaikan segera masalah berkaitan kehidupan harian rakyat.
Sultan Sharafuddin menegaskan ini termasuk masalah banjir yang sering melanda negeri Selangor yang telah menyusahkan kehidupan rakyat Selangor selaras pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi di negara ini.
“Rancangan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang perlu segera dilaksanakan.
“Apalah gunanya kita berbangga dengan pencapaian kemajuan ekonomi yang pesat serta status negeri kaya serta kejayaan mencatat KDNK tertinggi di Malaysia seandainya masalah keperluan asas rakyat pun tidak mampu diuruskan dengan baik,” titah baginda.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan menyempurnakan istiadat mengangkat sumpah, ikrar janji dan pengurniaan surat cara pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini, semalam.
Baginda turut menaruh harapan yang tinggi kepada Exco yang dilantik itu bagi memberi perkhidmatan yang cemerlang
dengan turun ke padang bagi melihat sendiri keadaan pembangunan yang dirancang dan sedang berjalan.
Sultan Sharafuddin bertitah adalah menjadi impian baginda supaya Selangor kembali mencapai kegemilangan seperti sebelum ini.
“Cukup-cukuplah kita berpolitik, rakyat dah penat, Beta pun dah penat dengar. Bangunlah Ahli-ahli Yang Berhormat semua, fikirkanlah masa depan negeri, negara dan masa depan anak cucu kita.
“Usia Beta telah menjangkau 78 tahun pada tahun ini, dan adalah menjadi harapan dan impian Beta, agar sebelum menutup mata dan dijemput Ilahi, Beta dapat melihat Selangor bangkit semula. maju ke hadapan dari segenap sudut.
“(Ini) yakni pembangunan fizikal dan kerohanian, pertumbuhan ekonomi yang mampan, perpaduan di kalangan rakyat berbilang bangsa, di mana rakyatnya hidup dalam keadaan selesa kemakmuran yang berpanjangan,” jelas baginda. -KOSMO!ONLINE