BACHOK – Tiga nelayan termasuk dua beranak yang dikhuatiri hilang selepas keluar memukat ikan di sekitar perairan Pantai Kemasin ditemui selamat selepas bot mereka kehabisan bekalan petrol sebelum hanyut ke perairan Belawan, Tak Bai dekat Thailand.
Mangsa, Rohaimi Ahmad, 47, bersama anak tirinya, Muhammad Syafiqrullah Abdul Hafiz, 21, dan rakan, Muhammad Amir Zulfikar Che Wil, 29, ditemui dalam keadaan selamat di dalam bot mereka kira-kira pukul 2.35 petang tadi.
Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Khairun Dalilah Baharin berkata, pihaknya mendapat maklumat bot berkenaan ditemui kira-kira 10 kilometer dari perairan Malaysia.
Menurutnya, bot berkenaan dipercayai kehabisan bekalan petrol sebelum dihanyutkan arus ke kawasan Belawan, Tak Bai berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika itu.
“Sebaik menerima maklumat, anggota APMM bergegas ke lokasi kejadian untuk menunda bot berkenaan pulang ke Kuala Kemasin di sini.
“APMM Kelantan mendapat bantuan daripada Polis Marin Tak Bai untuk membawa pulang bot berkenaan dan mereka dijangka tiba lewat petang ini,” katanya pada sidang akhbar di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Kemasin di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE