fbpx

Bakti Siti Salina buat komuniti pedalaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI SALINA merupakan tenaga pengajar di UPM dan sebahagian kanak-kanak yang terlibat dalam program anjuran Siti Salina di Pulau Denawan, Semporna, Sabah.

MEMINATI bidang penyelidikan kualitatif membuatkan pensyarah daripada Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil keputusan mendalami komuniti pedalaman dalam kajiannya.

Setelah meletakkan jawatan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selepas 13 tahun, Dr. Siti Salina Mustakim menjadi tenaga pengajar di UPM pada tahun 2018.

Semasa di UPM, wanita berusia 49 tahun itu membulatkan tekad untuk mendalami komuniti pedalaman dalam kajiannya.

Katanya, bermula dengan kajian tajaan UPM iaitu Penyelidik Muda (Geran Putra-IPM), ia diteruskan menerusi Geran Pengajian Siswazah (Geran Putra-IPS).

Siti Salina juga pernah menerima geran penyelidikan daripada KPM (FRGS), Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Hamburg dan UNESCO Malaysia.

“Jika ditanya kenapa memilih kajian pedalaman, secara spesifik ia menjadikan saya sebagai individu yang lebih bersyukur dengan persekitaran dianugerahkan Maha Esa.

“Tidak setakat itu, saya mahu mencabar diri untuk memberi sumbangan ilmu dan tenaga kepada komuniti terpilih ini,” katanya kepada iGen baru-baru ini.

Jelasnya, sebagai salah seorang yang sentiasa merujuk kepada pendidikan alternatif, dia yakin usaha dilaksanakan kepada komuniti itu mampu memupuk perpaduan negara serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi mereka.

KANAK-KANAK di Pulau Denawan turut didedahkan dengan teori asas penanaman hidroponik oleh pakar.

Terbaharu, salah satu program yang berjaya dilaksanakan oleh Siti Salina adalah di Pulau Denawan, Semporna, Sabah.

Program berkenaan bertujuan meningkatkan perkembangan kemahiran kognitif dan psikomotor komuniti setempat.

Katanya, program itu juga bagi memastikan keupayaan masyarakat menerusi pembelajaran sepanjang hayat, memperkaya penggunaan sumber sedia ada ke arah pembangunan pertanian.

Jelasnya lagi, ia dilaksanakan dengan melibatkan pemindahan ilmu pengetahuan serta teknologi kepada masyarakat.

Tidak setakat itu, Siti Salina juga aktif dengan kolaboratif pengantarabangsaan melalui geran penyelidikan daripada Universitas Negeri Yogyakarta dan Universitas Negeri Malang (UM), Indonesia.

Lantikan sebagai Profesor Adjung di UM juga secara tidak langsung menyuntik semangatnya untuk terus berada di persada penyelidikan yang memberi tumpuan kepada sumbangan berterusan kepada masyarakat.

“Saya ingin lebih ramai orang belajar bagaimana kehidupan sebenar di pedalaman yang hakikatnya tidak sama dengan apa dilihat melalui kaca televisyen dan media sosial.

“Penyelidikan kualitatif ini sebenarnya mampu meningkatkan keyakinan diri apabila berhadapan dengan pelbagai situasi mencabar, sekali gus menjadikan kita lebih bersyukur dan merendah diri,” ujarnya.

Tambah Siti Salina, dia juga pernah ditawarkan menjalani kajian kualitatif semasa program fellowship di University Nagoya, Jepun pada tahun 2014.

Ujarnya, pemantapan yang dipelajari daripada penyeliaan dua orang profesor di universiti tersebut menjadikannya lebih yakin untuk terus berada dalam laluan penyelidikan dan menyelami denyut nadi komuniti pedalaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI