fbpx

Amirudin angkat sumpah MB Selangor kali kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Amirudin di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang. -Foto AFIQ RAZALI

KLANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor ke-17 dan ikrar Aku Janji serta pengurniaan Surat Cara Pelantikan itu dilakukan di hadapan
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pada istiadat tersebut juga, Amirudin, 43, turut menandatangani akuan sumpah jawatan dan Aku Janji disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab pada istiadat yang berlangsung bermula kira-kira pukul 11.22 pagi.

Antara Aku Janji dilafaz Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor itu ialah menjunjung tinggi Rukun Negara; memelihara dan memastikan agama
Islam tidak diganggu gugat serta menghormati agama lain.

Intipati Aku Janji turut melibatkan memelihara institusi raja daripada dicaci dan diganggu; memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta kepentingan sah kaum lain serta melaksanakan tugas dengan penuh integriti dan bertanggungjawab, selain memastikan kemakmuran negeri ini di tahap tertinggi.

Amirudin turut melafazkan untuk bersedia ditimpa bencana diturunkan Allah serta daulat Sultan Selangor jika melanggar sumpah sebagai Menteri Besar Selangor.

Istiadat itu turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah serta Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Haris Kasim.

Pelantikan Amirudin tersebut menamatkan spekulasi sebelum ini terhadap Naib Presiden PKR berkenaan tidak akan dilantik sebagai Menteri Besar susulan gagal memperoleh majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu.

Kali pertama Amirudin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor adalah pada 19 Jun 2018 bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melepaskan jawatan itu berikutan pelantikannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi ketika itu.

PRN sebelum ini menyaksikan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memenangi 34 kerusi berbanding Perikatan Nasional (PN) dengan 22 kerusi seterusnya membolehkan membentuk kerajaan negeri. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI