KUALA LUMPUR – Legenda badminton tanah air, Datuk Seri Jalani Sidek menganggap Team Lee Zii Jia (Team LZJ) sepatutnya tidak memperbesarkan isu berhubung peraturan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mewajibkan pemain profesional untuk tidak memakai pakaian sukan jenama selain penaja badan induk itu.
Beliau berkata, pemain No.13 dunia itu sepatutnya bersyukur memandangkan dia dibenarkan untuk menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara meskipun sudah bergelar pemain profesional.
“Kenapa perlu nak dibangkitkan isu baju bila BAM beri kebenaran kepada pemain profesional untuk berlatih di dalam sedangkan bakat dalam BAM itu boleh bantu dia berlatih. Dulu waktu jadi pemain profesional, saya tidak dapat kelebihan seperti ini.
“Bila persatuan ada undang-undang dan peraturan, mereka kena ikut dan akur. Bagi saya, ia adil dan bagi saya, benda remeh seperti ini tidak perlu diperbesarkan. Mereka perlu sedar bahawa mereka orang luar dan bukan BAM lagi.
“Ia tidak bagus untuk senario badminton negara. Kalau betul mereka nak berlatih di dalam, perlu berkorban dan bagi saya isu ini tidak sepatutnya berlaku,” kata Jalani yang merupakan anggota pasukan juara Piala Thomas 1992.
Terdahulu, jurulatih Zii Jia, Wong Tat Meng dalam satu hantaran di laman Instagram mendakwa mereka seperti dibuli ‘orang besar’ selepas BAM tidak membenarkan pemain profesional memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja badan induk itu.
Beliau menyuarakan rasa terkejut dengan peraturan tersebut kerana menganggap ia dikuatkuasa ketika pemain-pemain sedang melakukan persiapan bagi menghadapi Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark yang bermula esok.
Bagaimanapun, BAM tampil menjelaskan bahawa peraturan tersebut sudah diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu kerana sudah termaktub dalam kontrak untuk pemain mengenakan pakaian penaja sahaja di ABM. – KOSMO! ONLINE