KLANG – Allahyarham Idris Abdol Talib@Ramali, 41, disifatkan seorang yang sentiasa menjaga solat dan mengaji al-Quran selain rajin bersedekah serta membantu orang ramai.
Abang ipar mangsa, Ahmad Fariz Ahmad Rusli, 51, berkata, semua ahli keluarga sememangnya amat menghormati keperibadian mulia arwah selama ini.
Kata peniaga itu, air matanya berlinangan selepas melihat jasad Allahyarham yang dalam keadaan masih sempurna dari rambut sehingga kaki.
“Adik ipar saya itu sepanjang hayatnya bukan saja sentiasa menjaga hubungan dengan Allah, malah kepada orang lain.
“Mungkin amalan itu antara rahmat Ilahi yang masih memelihara jasadnya selepas terkorban dalam tragedi hitam itu,” katanya ketika ditemui di Masjid Ar-Rahimiah di sini, pagi tadi.
Terdahulu, jenazah Allahyarham yang juga hafiz al-Quran itu selamat dimandi dan disembahyangkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Baraq Benus, Bentong, Pahang bagi urusan pengebumian.
Jelas Ahmad Fariz, dia kali terakhir menemui Idris ketika kempen pilihan raya di Pasir Puteh, Kelantan, dua minggu lalu.
“Pada waktu itu, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara dan mesra dengan saya seperti kebiasaannya.
“Namun, saya terkejut menerima berita nahas itu dan segera bergegas ke rumah adik perempuan (isteri arwah) bagi mendapatkan kepastian lanjut ” ujarnya.
Tambah beliau, keluarga reda dengan ketentuan Allah yang sudah memilih arwah bersama para syahadah lain.
Allahyarham Idris antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam, kelmarin.
Beliau meninggalkan seorang balu, Adlina Aisyah Ahmad Rusli, 41, dan tiga anak masing-masing berusia 54 hari, 10 tahun serta 14 tahun. – KOSMO! ONLINE