fbpx

Nahas Elmina: Negara sekali lagi kehilangan pemimpin yang baik – Ismail Sabri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail ketika ditemui di Tanah Perkuburan Raudahtul Sakinah Fasa 2, Batu Caves, hari ini.

GOMBAK – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun sebagai satu lagi kehilangan buat negara.

Ismail berkata, Johari bukan sahaja sahabat yang baik, malah merupakan pemimpin berjiwa besar yang mempunyai sifat lemah lembut.

“Saya kehilangan seorang sahabat dan negara (pula) kehilangan pemimpin yang baik. Johari dengan saya adalah kawan rapat dan selalu berjumpa, kali terakhir (kami) berjumpa (pada) bulan Mac.

“Saya mengenali beliau secara peribadi, beliau seorang pemimpin yang baik. Sebagai sahabat, saya lihat beliau adalah seorang pemimpin yang lemah lembut, tidak pernah meninggikan suaranya apabila bercakap. Jadi kehilangannya memang amat dirasai,” katanya ketika di Tanah Perkuburan Raudahtul Sakinah Fasa 2, Batu Caves, di sini, hari ini.

Terdahulu, Jenazah Allahyarham Johari, selamat dikebumikan di sini kira-kira pukul 12 tengah hari selepas selesai solat jenazah kedua di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai itu merupakan salah seorang daripada lapan individu yang maut selepas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang mereka naiki terhempas di Elmina Central Park, Shah Alam, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, seorang penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta yang kebetulan melalui lokasi kejadian berhampiran susur keluar Lebuh Raya Guthrie turut maut.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemergian Johari merupakan kehilangan besar buat rakyat negeri Pahang dan Pelangai.

“Sudah tentulah ia satu kerugian amat besar terutama buat rakyat negeri Pahang kerana Allahyarham adalah seorang (pemimpin) yang sangat komited dan kuat bekerja.

“Setiap minggu saya bersama dengan rakan-rakan Exco berjumpa dengan Johari dan beliau sering mengutarakan (isu) di kawasannya di samping portfolio dipegang beliau.

“Saya rasa ini satu takdir yang kita tidak dapat elakkan tapi memang kehilangan buat kami di Pahang dan saya percaya kehilangan amat besar (bagi) rakyat di kawasan Pelangai,” katanya.

Sebelum ini, negara dikejutkan dengan pemergian seorang pemimpin berjiwa rakyat, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub akibat mengalami pendarahan otak, Julai lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI