fbpx

Nahas Elmina: Momen gembira, sedih 22 tahun bersama ayah jadi kenangan – Anak Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Hafiz tidak dapat menahan sebak ketika mengetuai bacaan doa dan talkin buat arwah bapanya, Johari di Tanah Perkuburan Raudahtul Sakinah Fasa 2, Batu Caves, hari ini. - Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

GOMBAK – Pemergian Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun, 53, secara mengejut cukup menyedihkan buat ahli keluarganya.

Anak lelakinya, Muhammad Hafiz Naquiddin, 22, berkata, tiada perkataan boleh diungkapkan mengenai perasaannya ketika ini, namun tidak dapat menahan daripada berasa sedih kerana kehilangan seorang bapa.

“Ayah seorang dermawan, mudah mesra dengan rakyat dan masyarakat sekeliling. Semua momen gembira dan sedih selama 22 tahun saya hidup bersama ayah jadi kenangan untuk saya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Raudahtul Sakinah Fasa 2, Batu Caves, di sini, hari ini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Johari, selamat dikebumikan di sini kira-kira pukul 12 tengah hari selepas selesai solat jenazah kedua di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda.

Hafiz yang juga penuntut Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) dalam jurusan Bahasa Arab mengetuai bacaan doa dan talkin buat arwah bapanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai itu merupakan salah seorang daripada lapan individu yang maut selepas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang mereka naiki terhempas di Elmina Central Park, Shah Alam, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, seorang penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta yang kebetulan melalui lokasi kejadian berhampiran susur keluar Lebuh Raya Guthrie turut maut.

Dalam pada itu, Hafiz berkata, dia dan keluarga bersyukur kerana urusan pengebumian jenazah bapanya dapat dipercepatkan kepada hari ini.

“Alhamdulillah, hari ini kami dibenarkan untuk tuntut jenazah dan semuanya dipermudahkan.

“Justeru, saya memohon doa daripada seluruh rakyat Malaysia untuk Allahyarham Johari semoga Allah mengurniakan darjat yang tinggi kepada beliau dan merahmati pemergiannya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI