GOMBAK – Jenazah Allahyarham Datuk Seri Johari Harun, 53, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudahtul Sakinah Fasa 2, Batu Caves, di sini, hari ini.
Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai itu disemadikan kira-kira pukul 12 tengah hari selepas selesai solat jenazah kedua di Masjid Saidina Hamzah di sini.
Lebih 500 kenalan termasuk waris keluarga hadir tanah perkuburan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada arwah.
Turut hadir antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar lShamsudin sert Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan baki sembilan jenazah mangsa terlibat nahas pesawat terhempas boleh dituntut di Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, bermula pukul 9 pagi, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seramai lapan individu termasuk seorang Exco Kerajaan Negeri Pahang terbunuh selepas pesawat ringan yang mereka naiki terhempas di Elmina Central Park, Seksyen U16, Shah Alam, Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, seorang penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta yang kebetulan melalui lokasi kejadian berhampiran susur keluar Lebuh Raya Guthrie turut maut.
Difahamkan, keberadaan Allahyarham Johari dalam pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) tersebut adalah untuk tujuan rasmi kerajaan. – KOSMO! ONLINE