KLANG – Jenazah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun selesai disolatkan dengan diimamkan anaknya sendiri di Masjid Ar-Rahimiah, di sini, sebentar tadi
Terdahulu, jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai tiba di masjid itu diiringi pasukan polis dengan jenazah dibawa dengan menggunakan van jenazah yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Lebih 100 ahli keluarga serta orang awam menunaikan solat jenazah tersebut.
Turut menunaikan solat jenazah Johari, 53 adalah, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad.
Selepas urusan solat, jenazah Allahyarham dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves pukul 10.35 pagi. – KOSMO! ONLINE