fbpx

[VIDEO] Nahas Elmina: Ibu Sharipuddin gagahkan diri lihat jenazah buat kali terakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suharnaliza (kanan, tudung hitam) dan Hatun (duduk) ditemui di Masjid Ar-Rahimiah, hari ini. - Foto oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED / KOSMO!

KLANG – Biarpun keuzuran, Hatun Bakar, 81, menggagahkan diri semata-mata mahu melihat jenazah anaknya, Allahyarham Sharipuddin Shaari, 53, buat kali terakhir di Masjid Ar-Rahimiah di sini, pagi ini.

Ibu kepada pemandu e-hailing itu sebak dan lemah dengan dibantu beberapa ahli keluarga ketika melihat ketibaan van jenazah di masjid tersebut.

Adik mangsa, Suharnaliza, 44, berkata, keluarga sebelum ini terpaksa merahsiakan terlebih dulu berita duka itu daripada ibu mereka yang sedang uzur.

“Kami ketika itu tidak mahu emosinya terganggu kerana dia terlalu merindui arwah abang.

“Namun, sehari selepas nahas itu kami sekeluarga terus bergegas ke Selangor bagi menuntut jenazah arwah,” katanya sebak ketika ditemui di masjid itu.

Menurut kakitangan sebuah hospital swasta itu, arwah kerap menghubunginya dengan berpesan supaya menjaga ibu.

“Pada awal bulan ini, saya dihubungi abang tiga kali berturut-turut dan perbualan kami amat mesra sehingga hampir 30 minit.

“Pesanan yang kerap diulanginya adalah menjaga ibu dan saya tidak sangka ia petanda awal pemergian arwah buat selamanya,” ujar ibu kepada dua anak itu.

Tambah Suharnaliza, ketiadaan arwah merupakan satu kehilangan besar kerana mereka hanya ada tiga beradik termasuk kakaknya, Ramlah, 56.

Sementara itu, Hatun yang mengalami masalah pendengaran hanya mampu terduduk di kerusi dengan melinangkan air mata melihat van jenazah membawa arwah ke alam abadi.

Jenazah Allahyarham Sharipuddin akan dikebumukan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Salak Tinggi, Sepang hari ini.

Allahyarham antara 10 mangsa yang maut dalam nahas pesawat ringan terhempas di Persiaran Elmina, Seksyen U16, Shah Alam, Khamis lalu.

Anak kelahiran Kampung Rani Estet, Arau itu meninggalkan seorang balu, Suriana Muda, 43, dan dua anak iaitu Muhammad Sharul Izuan, 16, serta Nur Izzara Arissya, 9. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI