fbpx

Nahas Elmina: Hanya dapat sentuh keranda anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMAD SALLEH mengiringi jenazah Muhamad Hafiz ke Sungai Petani, Kedah. – AFIQ RAZALI

KLANG – Ibu mana tidak sayu apabila kehilangan anak sulung­nya, lebih-lebih lagi dalam kea­daan yang tragis serta mengejut.

Keteguhan hati seorang ibu, Jamaliah Ismail, 53, jelas terpancar ketika proses tuntutan jena­zah, Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, yang maut dalam nahas pesawat persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam Khamis lalu.

Sebaik keranda membawa jenazah Muhamad Hafiz tiba di Masjid Jamek Ar-Rahimiah di Klang dengan van untuk disolatkan, Jamaliah dilihat sempat menyentuh keranda tersebut dalam keadaan hiba.

MUHAMAD HAFIZ

Sebelum ini, mayat penghantar makanan itu ditemui dalam keadaan sempurna.

Terdahulu, Jamaliah berkata, anak sulung daripada lima beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum kejadian.

“Arwah sememangnya kerap menghubungi kami dan saya tidak sangka panggilan terak­hirnya pada minggu lalu.

“Dia hanya menghubungi ahli keluarga kami seperti biasa. Namun, saya terkejut terima berita nahas itu dan dimaklumkan polis mengenai tuntutan jenazah pukul 12 tengah malam tadi (kelmarin),” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini semalam.

JAMALIAH sebak ketika menyentuh keranda anak sulungnya.

Allahyarham Muhamad Hafiz yang juga jenazah pertama yang sah dikenal pasti identiti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) selesai dituntut keluarga, kira-kira pukul 9.30 pagi.

Jena­zahnya diuruskan oleh pihak Jabatan Agama Islam Se­langor (JAIS) dan disembahyangkan di masjid tersebut.

Bapa mangsa, Muhammad Saleh Othman, 57, berkata, ahli keluarga berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memudahkan pengurusan jena­zah anaknya.

JENAZAH Muhamad Hafiz dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda di Kampung Jerung, Sungai Petani semalam. – SHAHIR NOORDIN

Sementara itu, rakan mangsa, Mohd. Rosmaini Sahlan, 42, berkata, kali terakhir dia bertemu arwah di sebuah kedai di Subang Bestari beberapa hari sebelum kejadian.

“Saya agak pelik kerana arwah agak kurang bercakap dan tidak ceria sedangkan dia amat peramah sebelum ini. Selain itu, dia agak menyendiri dan tidak sangka ia petanda dia pergi meninggalkan kami selamanya.

“Arwah turut sempat luah hasrat mahu mencari wang membantu kos perbelanjaan perkahwinan adik perempuannya.

“Dia pernah beritahu ingin kumpul wang untuk majlis kahwin pada 26 Ogos ini dan sanggup be­kerja siang dan malam,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI