BENTONG – “Saya harap orang ramai dapat doakan ayah saya masuk syurga dengan tenang,” kata anak sulung Allahyarham Khairil Azwan Jamaludin, 43, yang maut dalam tragedi pesawat ringan terhempas di Lebuh Raya Guthrie dekat perumahan Elmina, di sini Khamis lalu.
Khairul Harisin Khairul Azwan, 14, dalam masa sama turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menguruskan jenazah ayahnya sehingga dikebumikan.
Tidak hanya itu, Khairul Harisin juga bersyukur apabila diberi peluang untuk mengimamkan solat jenazah ayahnya yang tiba di kediaman keluarga di Felda Mempaga 1, di sini pada pukul 12.55 petang.
“Saya memang berhasrat hendak jadi imam solat jenazah ayah dan kebetulan saya dipelawa oleh ustaz, jadi saya terima pelawaan itu.
“Saya berdoa agar ayah saya dapat pergi dengan tenang dan dapat masuk syurga. Harap semua orang dapat doakan ayah saya masuk syurga dengan tenang,” katanya ketika ditemui selepas selesai majlis pengebumian allahyarham Khairil Azwan di Tanah Perkuburan Islam Felda Mempaga 1, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, bekas isteri Khairil Azwan, Sabrina Subanrio, 43, pula berkata, dia melahirkan rasa syukur kerana hasrat anak sulungnya itu untuk mengimamkan solat jenazah ayahnya tercapai.
“Saya bersyukur kerana anak sulung saya kelihatan kuat menghadapi dugaan ini, malah dari awal dia memang beritahu mahu solatkan jenazah ayahnya.
“Masa awal-awal mendapat khabar berita tentang kejadian, anak saya menangis sepuasnya, tetapi di hari pengebumian ini saya lihat dia kelihatan tabah dan kuat,”katanya.
Dalam pada itu katanya, kali terakhir arwah bertemu dengan dua anaknya iaitu Khairul Harisin dan Khairil Ikhwan, 10, adalah pada 6 Ogos lalu.
“Memang dia ada beritahu nak ambil dua anak saya pulang ke kampung di Felda Mempaga, ketika itu anak beritahu ayahnya sudah menunjukkan perubahan.
“Anak juga beritahu ayahnya bawa berjalan ke banyak tempat, biasa dia akan bawa berjalan di satu tempat sahaja. Pengasuh anak saya juga beritahu ayahnya sempat peluk dan cium anaknya dengan bersungguh dan tidak seperti kebiasaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE