SEPANG – Balu kepada Allahyarham Sharipuddin Shaari, Suriana Muda, 43, meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat untuk menyambut hari lahir kesembilan anak bongsunya, Nur Izzara Arissya bersama arwah suami pada 27 Ogos depan.
Suriana berkata, mereka sekeluarga tidak pernah melepaskan peluang untuk menyambut hari lahir anak bongsu daripada dua beradik itu setiap tahun, malah arwah suaminya juga sudah membelikan hadiah baru-baru ini untuk diberikan sebagai kejutan.
“Izzara akan meraikan hari lahirnya yang kesembilan pada 27 Ogos depan, arwah juga sudah belikan hadiah untuk diberikan kepada anak bongsu kesayangannya itu. Tapi, apakan daya tidak kesampaian hasrat untuk meraikan bersama-sama.
“Hadiah apa yang dibelikan arwah suami untuk anak kami itu biarlah kami sahaja yang tahu, tapi saya rancang untuk berikan kepada Izzara apabila emosinya lebih stabil selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengebumian Allahyarham Sharipuddin di Tanah Perkuburan Masjid Sultan Hisamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi (BBST), Sepang hari ini.
Jenazah Allahyarham yang juga pemandu e-hailing itu selamat dikebumikan kira-kira pukul 12.50 tengah hari dengan dihadiri lebih 100 tetamu terdiri daripada ahli keluarga, kenalan dan penduduk setempat.
Terdahulu, solat jenazah Allahyarham Sharipuddin diimamkan oleh imam rawatib Masjid Jamek Sultan Hisamuddin, Ustaz Saudi Jusoh yang kemudiannya turut mengetuai bacaan talkin.
Bercerita lanjut, Suriana yang merupakan suri rumah sepenuh masa itu berkata, arwah suaminya tidak pernah menunjukkan sebarang tanda-tanda bahawa dia akan pergi buat selamanya.
“Tak ada pula yang nampak lain cuma suami nampak lebih manja sejak akhir-akhir ini dan seperti enggan berenggang dengan saya.
“Dan kali terakhir kami berhubung (pada Khamis) adalah melalui panggilan telefon dia beritahu sedang berhenti sebentar untuk minum,” ujarnya.
Suriana berkata, buat masa ini dia mahu bertenang dahulu kerana masih bersedih selepas pemergian suami tersayang sebelum memikirkan perancangan seterusnya untuk membesarkan anak-anak yang masih bersekolah. – KOSMO! ONLINE