SEPANG – Jenazah Allahyarham Sharipuddin Shaari, 51, yang maut dalam nahas pesawat terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam Khamis lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Sultan Hisamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) di sini tadi.
Lebih 100 jemaah menyertai solat jenazah yang diimamkan oleh imam rawatib Masjid Jamek Sultan Hisamuddin, Saudi Jusoh sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan berhampiran masjid untuk dikebumikan.
Jenazah selamat dikebumikan kira-kira pukul 12.50 tengah hari dengan diiringi hujan renyai dan cuaca mendung.
Suasana sedih turut menyelubungi kawasan pekarangan masjid dan tanah perkuburan sebaik sahaja ahli keluarga Allahyarham bertemu kenalan dan penduduk setempat yang turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir.
Terdahulu, sebelum dibawa pulang ke lokasi pengebumian masing-masing, kesemua jenazah dibawa ke Masjid Jamek Ar-Rahimiah, Klang untuk diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor dan solat jenazah.
Sharipuddin yang berasal dari Arau, Perlis meninggalkan seorang balu, Suriana Muda, 43, dan sepasang anak, Muhammad Sharul Izuan, 16, dan Nur Izzara Arissya berusia 9 tahun. -KOSMO! ONLINE